Pasukan petugas dibentuk bentang laporan RMT

Pasukan petugas dibentuk bentang laporan RMT

FADHLINA Sidek (tengah) bergambar bersama warga KPM selepas Perhimpunan Bulanan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menubuhkan pasukan petugas untuk menilai segala isu kelemahan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, kumpulan khas kementerian tersebut malah bakal membentangkan laporan hasil kajian mengenai skim berkenaan pada 1 Mac depan.

Beliau berkata, pelaksanaan RMT sejak 1979 mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan senarai 20 menu berbeza setiap hari.

“Laporan pasukan petugas ini kelak akan melihat rangkuman pelbagai masalah berbangkit termasuklah keberkesanan aspek pemantauan pentadbir sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KPM, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa RMT diwujudkan KPM untuk membudayakan amalan pemakanan sihat dalam kalangan murid keluarga miskin sepanjang belajar di sekolah sebagai usaha intervensi bersama KKM bagi memastikan kumpulan sasaran layak menerima khasiat seimbang.

“Apa sahaja isu termasuk isu kos RMT yang dikatakan rendah itu memang ada dalam radar diperbincangkan oleh pasukan itu,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia menyiarkan keluhan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia mengenai isu kos tinggi penyediaan RMT susulan kenaikan harga bahan mentah mengakibatkan mereka sukar menyediakan menu lengkap dan berkhasiat untuk murid dipilih menerima skim itu.

Ketika pembentangan Belanjawan 2025, dana RMT ditambah kepada RM870 juta daripada RM784 juta untuk tahun ini dan bakal memanfaatkan lebih 860,000 murid miskin.

Sementara itu, Fadhlina turut menafikan ada berlaku kebocoran kertas soalan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024 sepertimana tular diperkatakan warganet tempatan.

“KPM sudah menyemak perkara berkenaan dan laporan awal menunjukkan kes itu tidak menepati kriteria standard kebocoran malah situasi adalah masih terkawal,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut mengambil maklum laporan media tempatan mengenai ada pelajar menawarkan imej pornografi dan berjanji akan membuat siasatan kesahihan isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya