Pasukan pengaman Malbatt tingkat kesiapsiagaan di Lubnan

Pasukan pengaman Malbatt tingkat kesiapsiagaan di Lubnan

MOHAMMAD Ab Rahman memeriksa perbarisan pada Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-11 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) akan terus meningkatkan kesiapsiagaan dan kewaspadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam tugas pengaman di Lubnan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, langkah berkenaan perlu walaupun secara keseluruhannya, kehadiran pasukan tersebut termasuk Malbatt 850-11 sebelum ini diterima baik komuniti setempat, meskipun menghadapi cabaran getir akibat ancaman konflik berterusan antara Israel dan Lubnan. 

“Sejak Oktober tahun lalu ketegangan konflik antara Israel, Hamas dan Hizbullah telah memberi impak kepada operasi di kawasan tanggungjawab Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil). 

“Pergerakan pasukan terpaksa dihadkan bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara. Dalam suasana operasi yang mencabar, kontinjen Malbatt 850-11 telah berjaya mengekalkan reputasi sebagai pasukan pengaman yang dihormati dan disegani, bukan sahaja oleh masyarakat setempat malah dalam kalangan komuniti antarabangsa.

“Sumbangan dan komitmen mereka bukan sahaja membuktikan kemampuan Malaysia dalam melaksanakan misi keamanan global malah juga memperkukuhkan kredibiliti negara sebagai penyumbang kepada kestabilan sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-11 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 853 anggota dan pegawai termasuk dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai kewangan dari Kementerian Pertahanan menerima Penganugerahan Pingat PNBB diketuai Komander, Kolonel Burhan Sagoni.

Pasukan Malbatt 850-11 telah diatur gerak ke Lubnan pada 2 November tahun lalu dan memulakan misi secara rasmi dua hari kemudian sebagai pengaman dengan tujuan mengawal dan mengurangkan ketegangan konflik, menyokong serta membantu Lebanese Armed Forces (LAF) melalui pelaksanaan operasi dan latihan ketenteraan. 

Sementara itu, Mohammad menjelaskan, Malbatt bersedia untuk menjalankan tugas misi pengaman ke Syria sekiranya diminta melakukannya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dipersetujui oleh kepemimpinan negara.

“Sekiranya ada keperluan (ke Syria) daripada PBB untuk menyertai misi (pengaman), kepemimpinan negara akan membuat pertimbangan, sekiranya mereka bersetuju, anggota akan dihantar ke sana atau mana-mana sahaja negara memerlukan,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya