HULU TERENGGANU: Sepasang suami isteri warga emas berdepan detik cemas setelah disamun seorang lelaki bersenjata yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Dusun, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, Mamat Samad, 88, turut diacukan pisau manakala isterinya, Rabiah Hamzah,73, sempat melarikan diri meminta pertolongan dengan jiran di depan rumah.
Rabiah berkata, kejadian berlaku sewaktu dia sedang tidur di bahagian dapur dan kehadiran suspek terlebih dahulu disedari suaminya yang ketika itu ingin menunaikan solat.
“Suami naik ke ibu rumah untuk solat, kemudiannya ternampak seorang lelaki tidak dikenali. Namun ketika itu suspek memandang ke arah lain, belum menyedari suami berada di situ, Tidak lama selepas itu, suami turun tangga dapur untuk kejutkan saya dan ketika itu suspek telah ekorinya dari belakang. Saya masih terpinga-pinga waktu itu.
“Suspek beberapa kali acukan pisau pada suami sambil menyebut perkataan duit dan emas, minta diserahkan. Kami yang ketakutan terpaksa tunjukkan kepadanya tempat duit berada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun, hari ini.
Tambah Rabiah, dalam keadaan kelam kabut itu dia gagahkan diri berlari keluar melalui tingkap bilik tidur berhampiran dapur untuk meminta pertolongan dengan jiran.
Katanya belum sempat jirannya itu tiba suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal dan dalam kejadian kurang 15 minit itu mereka kerugian wang tunai kira-kira RM2,300.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata suspek dipercayai memasuki rumah melalui pintu tingkap yang tidak punyai jeriji.
“Suspek dipercayai warga tempatan, sewaktu kejadian memakai baju berwarna hitam bertutup kepala (foodie). Dalam kejadian tersebut, warga emas yang tinggal berdua itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN