Pasal makan, Janna Nick sanggup berhabis - Utusan Malaysia

Pasal makan, Janna Nick sanggup berhabis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Biasa saja nyah!” 

Itulah kata-kata yang keluar daripada mulut pelakon dan pengacara, Janna Nick setiap kali memberi komen jujur menerusi konten makan-makan di media sosial.

Kata pemilik nama lengkap, Nurul Jannah Muner, 29, dia memang suka meneroka makanan di seluruh pelusuk dunia demi menikmati rasa keaslian juadah dari negara tertentu.

“Saya memang suka makan. Saya sanggup melancong hanya untuk mencari makanan. Sekiranya saya rasa mahu makan tomyam, saya akan pergi Thailand. Kalau saya teringin nak makan ramen, saya akan terbang ke Jepun. 

“Saya suka rasa keaslian makanan dari negara-negara tersebut. Dalam masa sama, saya juga suka tengok video orang makan. FYP saya semua konten makan-makan sahaja,” katanya kepada Pancaindera.

Kata bekas pengacara Melodi itu, setiap konten yang dikongsikan di media sosial hanya sekadar mengisi masa lapangnya yang memang seronok mencuba pelbagai makanan yang ada.

Janna yang kerap membuat konten makan-makan bersama suaminya, Dini Schatzmann turut menyatakan setiap komen jujur yang diberikan adalah berdasarkan cita rasanya yang sudah terbiasa merasai makanan yang cukup rencahnya. 

“Saya rasa sebab saya membesar dengan nenek, jadi cita rasa saya macam kekampungan sikit. Orang tua masak penuh kasih sayang, bukan asal boleh atau mahu cepat. Jadi, air tangan nenek-nenek memang cukup rasa.

“Jadi, kalau makanan yang tak cukup rasa itu, saya akan jujur. Apa pun, itu cita rasa saya. Saya terbuka jika ada yang tidak bersetuju dengan komen saya sebab lidah kita berbeza. Konten itu juga untuk suka-suka dan tidaklah begitu mendalam,” jelasnya.

TAK PERNAH BERKIRA

Sudah menjadi lumrah, untuk menikmati makanan yang enak perlu mengeluarkan kos perbelanjaan yang lebih demi memenuhi kepuasan diri.

Menurut pelakon drama Pinjaman Syurga itu, dia tidak pernah mengira kos perbelanjaan yang telah dilaburkan demi menghasilkan sebuah konten makan-makan selain suka berkongsi rezeki dengan orang tersayang.

“Saya tidak pernah kira berapa yang saya berhabis untuk makanan. Tidak akan berkira bab makan. Saya suka makan dan saya akan puas kalau belanja orang makan lebih-lebih lagi jika orang itu makan bersungguh-sungguh,” katanya.

Meskipun ramai yang kagum menonton setiap perkongsiannya ketika mencuba pelbagai makanan yang menarik lagi menyelerakan, Janna mengakui dirinya tidak terlepas daripada cabaran.

Katanya, adakalanya dia perlu melaburkan kos perbelanjaan yang agak tinggi sekiranya makanan yang ingin dicuba itu hanya boleh didapati dari luar negara.

“Sepanjang membuat konten makan-makan, saya rasa tidak ada cabaran sebab saya memang memang suka makanan. 

“Cuma, apa yang mencabarnya jika makan itu viral dari luar negara atau makanan itu tidak dijual di Malaysia. Jadi, kos penghantarannya agak mahal.

“Tapi, saya ada alergik sotong dan makanan laut yang tidak segar. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah berdepan dengan perkara itu ketika buat konten,” ujarnya. 

Untuk makluman, Janna kerap tampil dengan videonya mencuba pelbagai makanan viral dan memberikan komen jujur di platform media sosial.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya