PETALING JAYA: Pas sepatutnya menyokong hak serta kepentingan semua kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan memecahbelahkan masyarakat dengan agenda politik sempit berhubung sambutan Hari Krismas di sebuah kementerian, baru-baru ini.
Menurut kenyataan bersama tiga pemimpin DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan, kepelbagaian etnik, ras serta kaum perlu dirai, difahami serta dihormati dan bukan untuk dimanipulasi demi kepentingan politik atas nama agama.
“Tindakan mempolitikkan perayaan Hari Natal juga bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyambut baik sambutan itu dengan menyifatkannya sebagai langkah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih bermoral.
“Percanggahan ini menunjukkan terdapat percubaan untuk memberi gambaran bahawa ia parti yang inklusif tetapi sebenarnya rata-rata kepimpinan Pas tidak menghormati hak rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.
“Sangat jelas semua yang terlibat dengan persembahan tersebut adalah mereka dari Sabah serta Sarawak dan tiada yang dipaksa untuk menghadiri majlis tersebut,” kata kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memuat naik video berdurasi satu minit 48 saat di Facebook yang memaparkan nyanyian dan sambutan perayaan Krismas di pejabat kementeriannya.
Susulan itu, beberapa pemimpin Pas termasuk Naib Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin mengecam sambutan tersebut serta mendakwa ia turut melibatkan kakitangan beragama Islam.
Pendirian itu amat berbeza dengan ucapan sambutan Hari Krismas yang dikeluarkan Pas pada baru-baru ini.