KUALA LUMPUR: Trend migrasi penduduk luar bandar ke bandar semakin berkurangan apabila data menunjukkan 30 peratus perpindahan pada 2020 telah menurun kepada 20.4 peratus pada 2022.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang berkata, rekod tersebut adalah berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia 2023 berhubung trend aliran migrasi dalam negeri melibatkan penduduk dari desa ke bandar.
Katanya, ia sekali gus menjelaskan kerajaan kini dalam usaha meningkatkan ketercukupan infrastruktur asas dan kemudahan sosial agar setanding dengan kawasan di bandar.
“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak lain yang berkepentingan seperti jawatankuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung dan Persekutuan bagi memastikan pembangunan luar bandar dijalankan dengan kompetitif dan memenuhi keperluan penduduk.
“Berkaitan pemantauan ketercukupan infrastruktur awal dan kemudahan sosial, ia dilakukan melalui sistem pemantauan dalaman projek kementerian dan sistem Myprojek dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
“Selain dari itu, kita juga mengambil dapatan daripada data yang diterbitkan Jabatan Perangkaan seperti laporan survey kemudahan asas, My Local Stat dan Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs),” katanya di Dewan Negara di sini, hari ini.
Terdahulu, Senator Datuk Koh Nai Kwong meminta kementerian menyatakan trend migrasi penduduk dari desa ke bandar dan sebaliknya, sejak 2020 hingga 2024 serta bagaimanakah kementerian menilai ketercukupan infrastruktur asas dan kemudahan sosial di luar bandar agar setanding dengan kawasan bandar.
Mengulas lanjut, Rubiah turut berkata, Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 menjadi tunjang dalam melaksanakan program pembangunan kesejahteraan Luar Bandar.
“Setiap tahun kementerian mengadakan makmal yang memberi fokus kepada apa yang ditumpukan setiap tahun. Kalau tahun depan bermula Januari kita kena ada fokus kerana bajet sudah diluluskan, jadi fokus perlu diambil kira.
“Kementerian memainkan peranan penting melalui pendekatan holistik, pendidikan, kesihatan dan pemberdayaan komuniti dan dasar ini adalah untuk membangunkan luar bandar dan tekankan infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan elektrik,” ujarnya. – UTUSAN