KUALA LUMPUR: Tiada cukai tersembunyi yang dikenakan ke atas harga runcit mingguan bagi bahan api RON97 dan diesel seperti yang didakwa segelintir pihak.
Timbalan Menteri Kewangan berkata, Lim Hui Ying berkata, perkara ini disebabkan penetapan harga mingguan kedua-dua bahan api itu mengikut kaedah apungan terkawal.
“Untuk makluman Yang Berhormat (YB), tiada caj tersembunyi seperti ditanya YB.
“Selaras pelaksanaan (penyasaran) subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, penetapan harga runcit diesel secara mingguan dilakukan melalui apungan terkawal.
“Kita memang pantau dengan rapi mengenai harga diesel dan memastikan kadar diputuskan kerajaan memang mengikut standard,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai dakwaan kerajaan mengutip cukai tersembunyi bagi RON97 dan diesel susulan penetapan harga dibuat formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM).
Dalam pada itu, Hui Ying berkata, kerajaan sedang dalam proses untuk mengkaji sekiranya wujud sebarang keperluan untuk melaksanakan pelarasan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.
“Setakat ini kerajaan masih lagi di peringkat kajian untuk melaksanakan penyelarasan subsidi diesel dan memerlukan banyak libat urus,” katanya.
Katanya, buat masa kini, agak sukar untuk melaksanakan pelarasan subsidi bagi Sabah dan Sarawak disebabkan faktor geografi dan di kawasan pedalaman
“Sebab itu kita akan kaji dahulu serta memastikan subsidi ini tidak akan membebankan rakyat yang betul-betul memerlukan terutama di kawasan pedalaman,” katanya.
Menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang menyoal berkenaan kelemahan pelarasan subsidi diesel, Hui Ying berkata, pihaknya mengakui perkara itu dan masih lagi memantau perkara tersebut.
“Kerajaan akui wujud kelemahan, sebab itu kita masih juga dalam proses libat urus bersama pemegang saham dan pemain industri untuk lakukan penambahbaikkan.
“Tetapi sekarang masih lagi kurang daripada enam bulan pelarasan ini dilaksanakan, jadi kita akan terus memantau dari masa ke semasa,” katanya. – UTUSAN