KUALA LUMPUR: Status kemajuan semasa bagi perolehan kapal tempur pesisir (LCS) pertama Tentera Laut Diraja (TLDM) berakhir pada 25 Oktober lalu, telah mencapai 70.10 peratus melebihi jadual perancangan iaitu sebanyak 70.69 peratus.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pengukuran tahap kemajuan itu merangkumi elemen reka bentuk, proses pembinaan, peralatan dan ujian.
“Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam kontrak ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal LCS pertama akan dapat disiapkan hujung tahun ini sebelum ia menjalani ujian seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh TLDM untuk tempoh dua tahun.
“Bagi kapal LCS kedua, ia akan turun ke permukaan air pada 2025 sebelum menjalani ujian HAT dan SAT,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin mengetahui jangkaan kapal LCS pertama akan mula menjalani ujian pengoperasian dan jangkaan kapal kedua akan turun ke permukaan air.
Selain itu, Adly berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa memberikan komitmen tinggi dan memantau secara teliti pelaksanaan projek LCS dengan pasukan projek yang terlibat di limbungan.
“Kita juga sentiasa memantau tapak dan mengadakan mesyuarat secara mingguan atau bulanan dengan pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS),” katanya. – UTUSAN