KUALA LUMPUR: Semua negara-negara ASEAN dan China perlu menghormati keputusan yang bakal dibuat dalam rundingan untuk menerima pakai Kod Tata Kelakuan (COC) di Laut China Selatan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, keputusan tersebut juga adalah melibatkan kawalan sempadan yang perlu dipantau dengan ketat agar tiada lagi ancaman berterusan dengan mana-mana pihak seperti pada waktu kini.
“Tahun 2022, kita memeterai deklarasi Code of Conduct (Kod Etika) dengan China dan negara-negara ASEAN. Pada 2017, kita telah mula rundingian COC itu, ini antara yang sedang kita rundingkan join working group (kumpulan kerja bersama) di antara negara ASEAN dan China.
“Malaysia juga sekarang ini sedang menjadi Pengerusi Bersama rundingan antara negara ASEAN dengan pihak China. Mesyuarat berkala sedang berjalan, mesyuarat pertama di Indonesia, Thailand, China dan yang terbaharu di Vientiane, Laos ini akan diteruskan bagi memuktamadkan rundingan COC yang perlu dihormati semua negara ASEAN dan China,” katanya di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Terdahulu, Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh meminta kementerian menjelaskan langkah kerajaan dalam membuat kawalan sempadan dalam usaha meja rundingan dengan China dan negara ASEAN kerana ancaman ini sudah berterusan sekian lama.
Mengulas lanjut, Mohamad turut berkata, sebagai tindak balas kepada insiden pencerobohan kapal-kapal milik kerajaan negara asing di kawasan maritim Malaysia, Kementerian Luar secara konsisten telah dan akan mengemukakan nota bantahan kepada negara-negara yang berkenaan.
“Ini adalah selari dengan pendirian tegas negara dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara. Hal ini juga selaras dengan pendirian tegas negara bahawa semua pihak perlu mengelak tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif, dan mengamalkan pendekatan self–restraint (kawalan diri),” ujarnya. – UTUSAN