KUALA LUMPUR: Sebarang perubahan terhadap kadar jualan air mentah berdasarkan Perjanjian Air Sungai Johor 1962 (Perjanjian 1962) dibimbangi akan menjejaskan rakyat Johor yang bergantung kepada Singapura untuk mendapatkan bekalan air terawat.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sebarang perubahan terhadap kadar jualan air mentah berdasarkan Perjanjian 1962 perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat dari Singapura yang menjadi keperluan kritikal bagi negeri tersebut.
Berdasarkan rekod Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj), kata beliau, Johor membeli 16 juta gelen air terawat sehari iaitu melebihi kadar lima juta gelen yang diperlukan di dalam perjanjian tersebut.
Jelasnya, penambahan jumlah air terawat yang dibeli itu menyebabkan kos tambahan sekitar RM180,000 setahun perlu ditanggung oleh Johor.
“Untuk mengurangkan kebergantungan kepada Singapura, projek Zero Dependency telah dirangka dan sedang dilaksanakan.
“Antaranya projek utama adalah pembinaan takungan air pinggiran sungai di Sungai Johor iaitu Sungai Lebak, bakaj di Sungai Sedili Besar serta pembinaan loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air (LRA) Layang 2 dan Semangar 3.
“Projek-projek ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti simpanan air mentah dan terawat, sekali gus memastikan Johor mampu memenuhi keperluan air secara mandiri dalam jangka panjang,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang memintanya penjelasan adakah kerajaan akan berbincang dengan kerajaan Singapura untuk mengkaji semula Perjanjian 1962.
Hassan menyifatkan perjanjian tersebut tidak adil kerana membenarkan Singapura menerima 250 juta gelen air dari Johor sehingga tahun 2061 pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, sasaran untuk mencapai Zero Depedency menjelang 2030 mungkin tidak dapat direalisasikan sepenuhnya mengambil kira pertumbuhan sektor industri seperti pusat data dan semikonduktor.
“Oleh itu, bekalan air terawat daripada Singapura masih diperlukan untuk memenuhi keperluan air negeri Johor. Dalam hal ini, kerajaan terus mengutamakan rundingan dan pandangan pihak berkepentingan.
“Berdasarkan perbincangan pada Oktober lalu bersama Menteri Besar Johor dan kementerian diputuskan bahawa semakan kadar air mentah tidak perlu dirundingkan buat masa ini,” jelasnya. – UTUSAN