PARLIMEN: RM590 Juta dana SejaTi Madani disalur, Sarawak tertinggi

PARLIMEN: RM590 Juta dana SejaTi Madani disalur, Sarawak tertinggi

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan sebanyak 6,547 permohonan Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) melibatkan peruntukan dana sebanyak RM590 juta dengan Sarawak antara penerima tertinggi setakat 12 Disember lalu.

Program SejaTi Madani merupakan satu bentuk program bantuan kerajaan bertujuan mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, sejumlah 16,884 permohonan diterima di bawah program itu melalui peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 bilion menerusi Belanjawan 2024.

“Sarawak mencatatkan peruntukan tertinggi dengan RM100 juta bagi 1,124 permohonan yang diluluskan, diikuti Johor dengan RM69.58 juta untuk 742 permohonan.  

“Bagi komuniti Orang Asli, sebanyak 111 permohonan diterima dengan 52 daripadanya diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM5.2 juta,” katanya dalam persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Manolan Mohamad berhubung permohonan Program SejaTi Madani mengikut negeri yang diluluskan termasuk daripada masyarakat Orang Asli.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, permohonan Program SejaTi Madani adalah percuma dan tidak melibatkan sebarang caj atau fi.

Pada masa sama, katanya, pihaknya tidak melantik mana-mana ejen untuk menguruskan permohonan. 

“Komuniti disarankan merujuk garis panduan permohonan dengan teliti serta berurusan terus dengan Pejabat Pembangunan Negeri yang berhampiran,” katanya.

Program SejaTi Madani menumpukan lima sektor iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

Inisiatif yang diwujudkan itu memberi peluang kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk meningkatkan produktiviti selain menjana pendapatan sampingan kepada penerima.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya