PARLIMEN: RM19 juta wang scam berjaya disekat

PARLIMEN: RM19 juta wang scam berjaya disekat

ANWAR Ibrahim-JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM19 juta wang jenayah penipuan dalam talian atau scam berjaya disekat oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM6 juta juga sudah disita oleh NSRC sejak penubuhannya.

Kata beliau, pusat tersebut menerima 140,474 kes yang termasuk 69,000 daripada keseluruhan jumlah itu membabitkan kes penipuan.

“Bayangkan, kalau tidak disekat oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) dengan kerjasama Bank Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi kewangan bank dan syarikat telekomunikasi, RM19 juta akan terlepas tetapi berjaya disekat.

“Jadi, ini langkah diambil. Saya akui sebab itu undang-undang dipinda bulan Oktober, dikaji lagi oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia) dan yang dikaitkan dengan Akta Pemberi Pinjam Wang KPKT (Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan) sedang diselaraskan oleh jawatankuasa yang dipimpin oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (KSP),” katanya pada sesi pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Suhaizan Kayat (PH-Pulai) yang memintanya menyatakan langkah pencegahan jenayah penipuan kewangan secara dalam talian atau secara bersemuka.

Dalam pada itu, Anwar mengakui bahawa untuk menangani masalah scam adalah rumit memandangkan ia turut dihadapi oleh semua negara di dunia ini.
Jelasnya, satu satu jawatankuasa khas di peringkat ASEAN dibentuk bagi menangani masalah tersebut.

“Ia untuk meningkatkan bidang kerjasama, memantau dan mengenalpasti langkah-langkah yang lebih baik, canggih, mengatasi kecanggihan oleh penipu,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya