KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 ditangguhkan ke Mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkara itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab lisan persidangan hari ini.
Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini, RUU tersebut dijadualkan untuk dibaca kali kedua di Dewan Rakyat, namun, ia ditangguhkan pada sesi Mesyuarat akan datang.
Pada Julai lalu, RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.
RUU itu turut memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.
Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.
RUU tersebut telah menarik perhatian mendalam daripada kalangan agamawan di seluruh negara dengan memberi respons positif terhadap usaha untuk memperkukuh peranan mufti dalam hal ehwal hukum syarak, penentuan fatwa serta pengawasan pengajaran agama Islam.
Namun, RUU ini telah mendapat kritikan daripada sesetengah pihak yang mendakwa ia berpotensi melanggar kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di Malaysia.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa RUU ini adalah usaha untuk memperkukuh institusi mufti dan memastikan penguatkuasaan hukum syarak berjalan dengan lebih teratur dan sistematik.-UTUSAN