KUALA LUMPUR: Dewan Negara diberitahu, pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sepatutnya berlangsung pada 9 Disember ini, ditangguhkan ke Januari 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan tersebut disebabkan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dijangkiti Covid-19.
“Malam tadi, Perdana Menteri Singapura maklum pada saya beliau dijangkiti Covid-19.
“Oleh itu, mungkin tandatangan (pemeteraian JS-SEZ) ini harus ditangguhkan kepada Januari,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membentang Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua.
Dalam pada itu, Anwar berkata, perjanjian tersebut akan menjadi langkah yang sangat bermakna dalam konteks ASEAN.
Malah, jelasnya, pemeteraian perjanjian itu akan menandakan hubungan baik antara Malaysia dengan Singapura.
“Ia akan mengeratkan kerjasama perdagangan (dan) pelaburan yang kita yakin akan merancakkan ekonomi serta pembangunan bagi negeri Johor,” jelasnya. – UTUSAN