PARLIMEN: Luas Tanah Rizab Melayu hampir 5 juta hektar - Nik Nazmi

PARLIMEN: Luas Tanah Rizab Melayu hampir 5 juta hektar – Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu (TRM) adalah sebanyak 4,955,870.89 hektar melibatkan 10 negeri dan wilayah setakat 30 Jun lalu.

Jumlah itu mencatatkan penurun 21,212.48 hektar berbanding 4,977,083.37 hektar yang dilaporkan 10 Julai lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu tidak melibatkan Pulau Pinang dan Melaka berikutan kedua-dua negeri tersebut tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu.

“Kementerian ini, melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), bertanggungjawab untuk mengumpul maklumat berkaitan keluasan Tanah Rizab Melayu daripada setiap Pihak Berkuasa Negeri.

“Pengumpulan data ini dilaksanakan berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-69 yang diadakan pada tahun 2013. Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pihak Berkuasa Negeri sehingga 30 Jun 2024, jumlah keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu adalah sebanyak 4,955,870.89 hektar. 

“Jumlah ini tidak termasuk negeri Pulau Pinang dan Melaka memandangkan kedua-dua negeri tersebut tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang memintanya menyatakan pecahan terkini keluasan kawasan Tanah Rizab Melayu (TRM) mengikut negeri sehingga kini.

Berdasarkan pecahan keluasan Tanah Rizab Melayu mengikut negeri, Kelantan mencatat keluasan tertinggi dengan jumlah 1,361,114.00 hektar, diikuti Perak (953,391.38 hektar), Kedah (809,142.22 hektar), Johor (561,802.60 hektar) dan Pahang (444,074.90 hektar).

Ia dituruti Terengganu dengan pecahan TRM (2,378.89 hektar) dan Tanah Pegangan Melayu (401,129.00 hektar) menjadikan keseluruhan bagi negeri itu adalah 403,507.89 hektar.

Negeri Sembilan pula mencatatkan keluasan 223,550.43 hektar, disusuli Selangor (164,743.89 hektar), Perlis (33,540.02 hektar) dan Kuala Lumpur (1,003.56 hektar). – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya