KUALA LUMPUR: Lebih RM11 bilion dikeluarkan oleh empat juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Akaun Fleksibel.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, empat juta pencarum atau lebih 30 peratus daripada keseluruhan ahli bawah umur 55 tahun mengeluarkan wang mereka dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.6 bilion setakat 27 November lalu.
Ia menjadikan baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel adalah sebanyak RM7.4 bilion setakat November lalu.
Beliau berkata, seramai 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada 3.1 juta keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan simpanan sebanyak RM14.5 bilion.
Kata beliau, pencarum juga memilih untuk memindahkan sejumlah RM6.6 bilion kepada Akaun Persaraan.
“Melalui penstrukturan semula akaun KWSP, caruman Akaun Persaraan yang bertujuan sebagai simpanan persaraan telah ditingkatkan sebanyak 75 peratus berbanding 70 peratus dan sebelum ini juga dilihat mampu mempercepatkan ahli mencapai Simpanan Asas iaitu sebanyak RM240,000.
“Setakat 31 Oktober lalu, 2.7 juta atau 36.2 peratus daripada 7.3 juta ahli aktif formal berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai simpanan asas mengikut umur berbanding 2.2 juta,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan yang memintanya menyatakan jumlah pencarum KWSP yang telah memindahkan caruman dari Akaun 1 ke Akaun 3 dan jumlah pencarum serta caruman yang telah dikeluarkan dari Akaun 3 setakat ini.
Bobbey turut meminta beliau menyatakan strategi jangka panjang kerajaan untuk memastikan pelaburan KWSP tidak terjejas ekoran penstrukturan semula akaun tersebut.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan menjangkakan pengeluaran Akaun Fleksibel pada tahun-tahun akan datang adalah sekitar RM5 bilion hingga RM7 bilion setahun selepas mengambil kira trend pengeluaran bagi tahun ini.
Bagaimanapun jelasnya, jumlah tersebut adalah minimal dibandingkan dengan pertumbuhan saiz dana pelaburan KWSP yang meningkat dalam lingkungan RM100 bilion sehingga RM120 bilion setahun daripada penjanaan pendapatan pelaburan dan aliran masuk caruman bersih yang diterima daripada ahli.
“Jangkaan pengeluaran ini juga adalah jauh lebih rendah berbanding peruntukan baki tunai berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) iaitu pada julat dua peratus sehingga enam peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP atau bersamaan dengan sekurang-kurangnya RM25 bilion.
“KWSP akan terus mengamalkan pendekatan pelaburan berdisiplin dan pengurusan kecairan yang baik dan berpandukan SAA untuk memastikan portfolio pelaburan KWSP tidak terjejas dengan penstrukturan semula akaun KWSP.
“Ini dapat memastikan prestasi pelaburan yang kukuh dapat dikekalkan selaras dengan objektif KWSP sebagai sebuah dana persaraan jangka panjang,” jelasnya.-UTUSAN