KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPM), akan mengkaji semula dasar perolehan melibatkan kementerian itu terutama melibatkan Geran Agropreneur Muda.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan perkara tersebut, memandangkan jumlah geran yang ditawarkan sebanyak 20,000 hingga 30,000 terlalu sedikit dengan keadaan ekonomi terkini.
“Kita akan kaji semula, sekiranya wujud keperluan untuk menambah peruntukkan, kita pasti akan tambah.
“Perkara ini penting untuk kita bantu Agropreneur muda kita sebagai langkah permulaan untuk membantu golongan muda dalam sektor pertanian dan agromakanan,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (LABUAN) yang memintanya menyatakan perancangan untuk mengkaji semula semua dasar melibatkan agensi di bawah kementeriannya.
Terdahulu, KPKM, melancarkan Geran ‘Start-Up’ dan ‘Scale-Up’ bagi membantu golongan muda dalam sektor pertanian dan agromakanan mengurangkan kos permulaan serta mengembangkan projek pertanian.
Menurut KPKM, melalui geran baharu itu nilai bantuan dalam bentuk barangan dinaikkan kepada RM30,000 berbanding RM20,000 sebelum ini, selain had umur yang dahulunya dari 18 hingga 40 tahun kini dinaikkan kepada 43 tahun. – UTUSAN