KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menubuhkan rejimen digital di bawah Kementerian Pertahanan sebagai kesediaan untuk berhadapan dengan ancaman serangan siber.
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, selain melengkapkan rejimen digital itu dengan pelbagai teknologi baharu, kerajaan turut diminta untuk membabitkan pemain-pemain e-sukan negara.
Kata beliau, pemain-pemain tersebut atau ‘gamers’ mempunyai kemahiran tinggi dalam mengendali gadget.
“Mungkin boleh dicungkil bakat mereka ini, bukan sahaja untuk e-sukan tetapi boleh juga untuk dibawa ke rejimen digital. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh anjurkan liga e-sukan taktikal perang supaya dapat mengesan bakat-bakat tersebut.
“Jika tidak keterlaluan, boleh gunakan stimulator untuk mereka (pemain e-sukan) dapat dikesan dan bakatnya tidaklah (terbuang begitu sahaja),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi Kementerian Pertahanan. – UTUSAN