PETALING JAYA: Kerajaan memberi cadangan kepada sektor kesihatan swasta untuk membeli ubat secara pukal bagi menurunkan kos perubatan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini sudah dilaksanakan dan berjaya di sektor kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kos ini dapat dikurangkan antara 20 hingga 25 peratus, bahkan lebih rendah lagi. Jadi kita akan cadangkan ini kepada sektor swasta,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Namun, beliau turut menegaskan walaupun sektor swasta mempunyai pilihan dalam pembelian, kawalan tetap akan diperkenalkan jika harga rawatan atau ubat yang ditawarkan terlalu tinggi dan tidak munasabah.
“Kita tidak boleh membenarkan kenaikan harga yang mendadak. Walaupun ada sedikit peningkatan, ia perlu dikawal sehingga Diagnosis-Related Group (DRG) dan pindaan Akta 386 (2013) dapat dilaksanakan pada awal tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta apakah langkah jangka pendek untuk selesaikan masalah kenaikan kos rawatan di hospital swasta supaya tidak membebankan rakyat. – UTUSAN