KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan untuk menyegerakan bantuan keperluan asas kepada semua mangsa banjir di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan segera bagi mengatasi kerosakan yang dikenal pasti sudah mencecah hampir RM1 bilion dengan memberi keutamaan kepada membaiki sekolah, hospital, jalan-jalan asas dan ganti rugi.
Katanya, beliau bersetuju bahawa kerajaan harus mempertimbangkan pemberian ganti rugi kepada mangsa banjir yang rumahnya musnah akibat bencana tersebut bagi membolehkan mereka membina semula kediaman sendiri.
“Saya tidak boleh beri pengakuan secara spesifik di mana. Setakat ini peruntukan segera kita hanya RM1 bilion.
“Kita masih tunggu maklumat keseluruhannya secara teliti. karang nampak reda sedikit di Kelantan dan Terengganu, tapi telah membara di Pahang dan diunjurkan Johor akan turut terkesan. Kita akan lihat keseluruhannya.
“Tetapi saya beri jaminan, keperluan yang segera seperti makan minum dan kemudahan asas, termasuk membaiki jalan-jalan rosak itu harus diberikan keutamaan,” katanya semasa sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang memintanya menyatakan berapakah jumlah bantuan yang akan diberikan kepada mangsa banjir.
Dalam pada itu, Anwar berkata, seramai 80,000 penjawat awam daripada pelbagai agensi dan kementerian turun ke kawasan-kawasan banjir bagi membantu mangsa banjir.
“Pihak Ketua Setiausaha Negara sekarang mengetuai pasukan yang disebut Skuad Insan Madani (untuk) membantu setelah reda, di mana isu isu pembersihan akan dimulakan.
“Jadi sebab itu, sementara kita hadapi masalah, kita melihat semangat kesatuan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, pelbagai daerah dan negeri itu sungguh luar biasa. Saya ingin merakamkan penghargaan yang setinggi tingginya kepada mereka,” katanya.-UTUSAN