PARLIMEN: KDN pertimbang penggunaan kod QR di pintu masuk negara

PARLIMEN: KDN pertimbang penggunaan kod QR di pintu masuk negara

SHAMSUL Anuar Nasarah ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baharu iaitu Quick Response (Kod QR) di pintu masuk negara bagi melancarkan pemeriksaan imigresen kepada para pengembara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihak kementerian ingin memperkenalkan penggunaan kod QR bagi kegunaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kata beliau, sistem tersebut dijangka dapat mempercepatkan proses pemeriksaan di kaunter imigresen.

“Pengembara hanya perlu mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi serta butiran perjalanan mereka.

“Penggunaan teknologi ini dijangka akan membantu meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk negara, terutama pada waktu puncak,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memintanya untuk menyatakan langkah-langkah diambil kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk ke tanah air.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, penggunaan kod QR akan diperluaskan ke pintu-pintu masuk utama negara yang bersesuaian.

Jelasnya, ia termasuk lapangan terbang antarabangsa lain dan pusat pemeriksaan di sempadan darat serta laut.

“Dengan adanya sistem yang lebih bersepadu ini, ia bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan imigresen, tetapi juga akan mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kaunter imigresen,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kini terdapat terdapat sebanyak 1,568 unit mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk Malaysia.

Katanya, Jabatan Imigresen sudah menambahbaik kemudahan di pintu masuk seperti membolehkan pelawat dari Singapura menggunakan autogate (pagar automatik).

“Selain itu, pelawat dari 10 warga negara berisiko rendah boleh menggunakan autogate dan pekerja untuk syarikat yang berpangkalan di Malaysia boleh memohon pas ekspatriat untuk pekerja dan pemegang pas diberi kemudahan termasuk visa kemasukan berganda (MEV) dan boleh menggunakan kemudahan autogate,” jelasnya.

Tambahnya, Jabatan Imigresen juga sudah memperluaskan kemudahan autogate kepada 53 buah negara baharu.

“Jumlah negara yang diberikan kemudahan autogate ini adalah sebanyak 63 buah negara keseluruhannya dan akan meningkatkan bilangan pelawat asing daripada negara-negara ini,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya