KUALA LUMPUR: Pembangunan Indikator Kos Sara Hidup (IKSH) dijangka dapat membantu kerajaan dalam merangka program bersubsidi yang lebih bersasar dan mengikut keperluan serta pembelanjaan rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, IKSH akan membantu merangka dan melaksanakan program baharu mahupun sedia ada yang dilakukan oleh kerajaan.
Kata beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperoleh peruntukan tambahan RM700 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi membolehkan kementerian merangka program baharu dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Dalam kita menambah baik program sedia ada dan memastikan sampai kepada golongan sasar, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM700 juta tambahan supaya mungkin ada program spesifik kepada kawasan tertentu.
“Begitu juga pembangunan Indikator Kos Sara Hidup (IKSH) untuk memastikan program ke depan ini akan menjadi lebih bersasar, melihat bukan hanya kepada keperluan asas rakyat tetapi perbelanjaan yang meliputi kehendak untuk membolehkan rakyat turut serta dalam masyarakat dengan lebih bermakna lagi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) berhubung langkah atau inisiatif alternatif yang akan dilaksanakan KPDN di samping program subsidi sedia ada, untuk membantu rakyat.
Dalam pada itu, Armizan berkata, kerajaan melaksanakan empat strategi dan pendekatan bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.
Katanya, antaranya adalah mengguna pakai mekanisme bantuan tunai secara langsung kepada golongan sasar yang berkelayakan dan memerlukan untuk membendung isu ketirisan serta penggunaan teknologi bagi memastikan sistem penyampaian yang efisien dan segera.
“Selain itu, kerajaan mengambil pendekatan melalui pelaksanaan dasar dan program penyasaran subsidi untuk memastikan program subsidi benar-benar sampai dan dimanfaatkan oleh golongan sasar.
“Malah, kementerian turut memperkasa aspek penguatkuasaan untuk membendung isu ketirisan, penyelewengan dan penyeludupan,” katanya.-UTUSAN