PARLIMEN: Graduan pendidikan swasta, universiti luar diberi peluang isi kekosongan guru

PARLIMEN: Graduan pendidikan swasta, universiti luar diberi peluang isi kekosongan guru

FADLINA Sidek-JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) membuka ruang kepada graduan pendidikan daripada universiti swasta dan luar negara untuk mengisi tempat dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru di dalam negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengambilan graduan-graduan tersebut merupakan satu daripada rancangan jangka pendek KPM untuk menyelesaikan isu kekurangan guru yang sedang dihadapi.

Selain itu, kata beliau, KPM akan turut melakukan pengambilan menggunakan kluster mata pelajaran dan pelantikan guru secara kontrak atau Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.

Jelasnya, guru-guru lantikan CoS itu akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Bagi langkah jangka panjang pula, KPM melaksanakan pengambilan calon guru bagi Program Praperkhidmata lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun 2024.

“Selain itu, menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru KPM, berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar, kurikulum, program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru, seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai langkah-langkah yang diambil KPM untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, terdapat seramai 13,749 orang guru baharu lantikan tetap dan lantikan CoS bagi sekolah rendah serta menengah ke seluruh negara.

Jelasnya, seramai 1,697 daripada jumlah tersebut ditempatkan ke Sarawak dan menjadikan Bumi Kenyalang itu antara negeri tertinggi menerima guru baharu.

“Sehingga 30 November lalu, jumlah pengisian guru di Sarawak adalah seramai 41,125 orang dari 43,334 perjawatan dengan jumlah kekosongan guru adalah 2,209 orang. Peratus pengisian guru adalah sebanyak 94.9 peratus.

“Khusus bagi menangani isu kekurangan guru di Sarawak, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bersetuju dengan cadangan KPM untuk melaksanakan pengambilan khas tahun 2024. Urusan pengambilan khas ini terbuka kepada graduan pendidikan dan graduan bukan pendidikan,” jelasnya.

Beliau berkata, SPP sudah mengumumkan keputusan temuduga Urusan Pengambilan Guru tahun 2024 pasaran terbuka dan Pengambilan Khas Sarawak pada 11 Disember lalu.

“Seramai 7,645 calon telah ditawarkan pelantikan oleh SPP dalam kedua-dua urusan pengambilan ini di mana seramai 1,372 calon adalah bagi penempatan di Sarawak. KPM akan membuat penempatan ke sekolah bagi mengisi kekosongan sedia ada,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut membuktikkan KPM berjaya mengurangkan bilangan kekosongan guru di Sarawak sehingga 837 orang guru, yang akan meningkatkan peratus pengisian guru di Sarawak kepada 98.06 peratus

“KPM akan berusaha untuk memastikan kekosongan guru ini dapat diatasi dari masa ke semasa.

“Pada masa yang sama, keutamaan akan diberikan kepada guru kelahiran Sarawak untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya