KUALA LUMPUR: Kehadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hari pertama Ujian Bertutur Bahasa Melayu (BM) di seluruh negara semalam mencapai 99 peratus.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, angka itu menunjukkan kelancaran Ops Payung yang dilancarkan bagi tujuan menyelamat dan memastikan calon peperiksaan berkenaan dapat hadir walaupun terjejas akibat banjir.
“Saya ingin tegaskan, hari ini kita dapat laporan kehadiran anak-anak (calon SPM) bagi peperiksaan SPM yang bermula semalam adalah 99 peratus.
“Ini menunjukkan proses menyelamat dan pembugaran emosi yang dilaksanakan berjaya.
“Tidak capai 100 peratus kerana mereka (calon SPM yang terjejas banjir) akan ambil peperiksaan ini sama ada esok atau 5 Disember (Khamis),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan bagi memastikan baki satu peratus calon SPM yang belum menduduki ujian lisan BM untuk hadir pada hari esok atau Khamis.
Menurut beliau, setakat ini, hanya calon SPM di sebuah sekolah di Rantau Panjang yang terjejas akibat banjir dan diberikan pilihan untuk menduduki ujian lisan BM sama ada hari ini, esok atau pada Khamis.
“Semasa proses menyelamat dijalankan, kita sudah menjangkakan (kemungkinan) ada calon yang tercicir bagi menghadiri ujian lisan yang diadakan mulai semalam.
“Hanya satu sekolah (ada pelajar terjejas akibat banjir) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang.
“Jadi, kita anjakkan anak-anak ini untuk buat pilihan sama ada duduki peperiksaan pada hari ini atau esok. Jadi, tak timbul isu mereka tak dapat hadir,” katanya.-UTUSAN