KUALA LUMPUR: Pertambahan pakar sebanyak 800 orang akan dilaksanakan setiap tahun bagi memperkasakan jumlah sumber manusia di fasiliti kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sani berkata, langkah tersebut juga adalah usaha kerajaan bagi memastikan pengisian secara tetap demi kepentingan orang awam seluruhnya.
“Tahun ini kita mulakan pertambahan kepakaran sebanyak 800 pakar yang akan dilaksanakan setiap tahun, maksudnya kita ada bilangan jawatan yang walaupun belum lagi cukup, tetapi jaminan dari pihak pusat bahawa jumlah jawatan kepakaran ini dibekalkan setiap tahun.
“Selain itu, Perdana Menteri sebelum ini juga telah mengumumkan jawatan sebanyak 12,800 telah diluluskan bagi pengambilan 2023/2024 bagi jawatan doktor kontrak ke tetap dan kita juga sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah penjawatan awam doktor,” katanya bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli di Dewan Negara di sini, hari ini.
Setakat 30 September lalu, seramai 299,672 petugas kesihatan sedang berkhidmat di Kementerian Kesihatan dimana 266,898 petugas kesihatan adalah lantikan tetap, sementara 32,774 lagi adalah lantikan kontrak.
Selain itu jelas Lukanisman lagi, fasiliti baharu seperti hospital yang akan dibuka di Terengganu dan Sarawak yang dijangka siap pada 2026 sudah pasti akan memerlukan pertambahan jawatan bagi membolehkan fasiliti berkenaan berjalan dengan lancar. – UTUSAN