KUALA LUMPUR: Sebanyak 80.4 peratus graduan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) direkodkan pada tahun ini bekerja mengikut kesesuaian kemahiran dan kelayakan masing-masing.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, jumlah tersebut meningkat sejak 2022, sekali gus menunjukkan keberkesanan latihan ILJTM dalam memenuhi keperluan industri sehingga hari ini.
“Kebolehpasaran ILJTM ada yang mencecah 100 peratus contohnya Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang, ILP Bukit Katil dan dari segi statistik pekerja yang mereka pelajari dalam bidang masing-masing, lebih kurang 70.8 peratus pada 2022. Angka ini meningkat kepada 79.7 peratus pada 2023 dan pada tahun ini merekodkan 80.4 peratus.
“Ini adalah peningkatan agak ketara pekerjaan dalam bidang masing-masing,” katanya dalam persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.
Terdahulu, senator Dewan Negara, Datuk Salehuddin Saidin meminta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyatakan tindakan kerajaan bagi mengatasi isu serius mengenai kadar guna tenaga kerja yang bekerja tidak mengikut kesesuaian kemahiran dan kelayakan terutama dalam kalangan para graduan.
Mengulas lanjut, Sim turut memaklumkan kadar pengangguran kebangsaan di negara juga rendah pada kadar 3.2 peratus.
Bagaimanapun, pihaknya kini sedang merangka nilai ekonomi untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi.
“Namun, saya juga akui negara kini berdepan dengan kadar gaji yang tidak memuaskan pada setiap pekerjaan yang dilakukan.
“Sebab itu kita sedang membuat beberapa perkara untuk meningkatkan nilai ekonomi untuk melahirkan dan mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN