PARLIMEN: 60,000 pesawah belum daftar STTP

PARLIMEN: 60,000 pesawah belum daftar STTP

MOHAMAD Sabu-JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 60,000 pesawah di seluruh negara belum mendaftar Skim Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) bagi memastikan mereka mendapat pampasan selepas tanaman musnah dilanda banjir.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendaftaran STTP akan membolehkan pesawah menerima perlindungan terutama untuk risiko kerugian akibat bencana alam seperti banjir.

Menurut beliau, pesawah yang mendaftar akan penerima pampasan bernilai RM3,000 sekiranya tanaman mereka terjejas akibat bencana tersebut.

“Setakat ini, baru 30,000 (pesawah sudah) berdaftar dan kita masih memerlukan 60,000 untuk menyertai (STTP). Di peringkat awal, ia akan diberikan secara percuma oleh AgroBank, selain membiayai (premium) RM64.80 per hektar.

“Kalau daftar sahaja (dan) berlaku bencana, AgroBank akan beri (pampasan) RM3,000 tetapi kepada mereka yang berdaftar sahaja. (Jadi pesawah) boleh daftar di PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) atau AgroBank cawangan terdekat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai usaha mengurangkan kerenah birokrasi bagi pendaftaran bantuan kepada petani terjejas bencana alam.

Menjawab soalan asal, Mohamad berkata, kementeriannya turut menyediakan mekanisme bantuan lain iaitu Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi pesawah padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi pengusaha tanaman selain padi.

“Bantuan TBTP diberikan secara tunai khusus kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam. Mekanisme ini melibatkan beberapa peringkat penilaian meliputi penyediaan Laporan dan Penilaian Kerugian oleh agensi di lapangan bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang dihadapi oleh pesawah.

“Seterusnya, laporan lengkap akan dibentangkan dan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal Peringkat negeri dan Jawatankuasa Induk di peringkat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” jelasnya.

Beliau berkata, permohonan bencana banjir di bawah TBP pula terdapat siasatan dan bancian dilapangan akan bermula dalam tempoh 14 hari selepas banjir selesai untuk tujuan menilai tahap kerosakan terhadap tanaman.

“Proses bancian dan siasatan yang dijalankan oleh jabatan dan agensi bagi sesuatu kawasan yang terjejas adalah dalam tempoh 30 hari.

“Walau bagaimanapun, proses bancian dan siasatan perlu dijalankan dengan teliti bagi memastikan semua penerima bantuan adalah golongan sasar yang memerlukan dan mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan bantuan tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya