KUALA LUMPUR: Tiga projek pembangunan di sempadan negeri Sarawak dengan kos sebanyak RM7.6 juta di bawah Kementerian Dalam negeri (KDN) selesai dilaksanakan setakat 29 November lalu.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, empat projek di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kos sebanyak RM47.6 juta dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini, manakala 10 baki projek lain masih dalam pelaksanaan.
“Sebanyak 37 projek baharu pembangunan sempadan Sarawak telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tahun hadapan dengan kos berjumlah RM622.02 juta.
“Ia meliputi 27 projek di bawah KDN, sembilan di bawah MINDEF dan satu di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang ingin tahu penggunaan peruntukan RM1 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menaik taraf kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak.
Hanifah berkata, menerusi 37 projek baharu itu, antara kerja yang akan dilaksanakan ialah perolehan aset kelengkapan pos sempadan, pembinaan infrastruktur kegunaan kawalan keselamatan sempadan dan pembinaan bekalan elektrik solar.
Katanya, peruntukan melibatkan projek pembangunan di Sabah, Sarawak dan Kalimantan dari 2023 hingga 2024, peruntukan itu diluluskan Kementerian Ekonomi melebihi RM1 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri.
“Ia antara persiapan bagi mengimbangi pembangunan yang bakal berlaku apabila ibu kota Indonesia dipindahkan ke Nusantara di Kalimantan kelak,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Richard Riot berhubung status ICQS Tebedu di Sarawak, Hanifah berkata, ia masih belum dimulakan dan dalam peringkat fasa reka bentuk. – UTUSAN