ShaaaahhhhUALA LUMPUR: Seramai 29,572 pelawat asing telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) yang dikeluarkan Jabatan Imigresen.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan pelawat yang memasuki Malaysia adalah tulen dan masuk secara sah.
Katanya, pelbagai langkah dan pengoperasian yang dilakukan pihak Imigresen bagi membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“Setakat ini, kita melaksanakan pemeriksaan rambang kepada pengembara, dan mewajibkan semua pelawat untuk menggunakan pengisian Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).
“Sistem itu perlu diguna pelawat bagi memudahkan pengesanan warga asing dan juga memastikan pelawat mempunyai tiket keluar semasa pemeriksaan imigresen untuk mengelakkan mereka tinggal lebih masa,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai)mengenai langkah yang dilakukan Jabatan Imigresen dalam mengawal kemasukan warga asing ke negara ini.
Sementara itu, Shamsul menjelaskan, pihak imigresen juga mempergiat dalam melaksanakan pengoperasian terutamanya di 224 lokasi hotspot untuk menangkap, dan mengusir warga asing.
“PATI yang ditangkap akan dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang negara seperti Akta Imigresen 1959/63, Akta pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Sepanjang tahun 2024 iaitu sehingga 21 November 2024, Jabatan Imigresen telah melaksanakan sebanyak 18,163 operasi penguatkuasaan dengan tangkapan seramai 41,906 orang PATI.
“Kementerian akan meneruskan kerjasama strategik bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membanteras pendatang asing tanpa izin di dalam negara. – UTUSAN