KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,634 tapak sampah haram di tujuh negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Perlis, Kuala Lumpur dan Putrajaya, ditutup melibatkan anggaran kos pembersihan berjumlah RM412,000 sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kementeriannya melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sudah melakukan serbuan dan tangkapan di lokasi-lokasi ‘hotspot’.
Kata beliau, sebanyak 28 kes berjaya didakwa di mahkamah dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah dengan denda sebanyak RM490,000.
“Selain itu, sebanyak 4,134 kali intipan telah dilaksanakan oleh Penguatkuasa SWCorp sepanjang tahun ini.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp akan terus mempergiatkan usaha ke arah membasmi tapak sampah haram khusus melibatkan tujuh negeri tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) yang memintanya menyatakan laporan program penutupan lokasi hotspot sampah haram bagi tahun ini.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, KPKT memperkukuh kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MySA) untuk cerapan lokasi pembuangan sampah haram dan perkongsian maklumat menerusi Sistem Pemantauan Potensi Lokasi Pelupusan Sisa menggunakan imej satelit beresolusi tinggi.
Selain itu, jelasnya, KPKT terus melakukan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempunyai kelengkapan bilik kawalan Pusat Pengurusan Pengangkutan bagi mengesan sebarang perlakuan pembuangan sampah haram.
“Malah, (KPKT) melakukan pemantauan secara bersepadu menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hotspot sampah haram.
“KPKT juga melakukan pemantauan berkala bagi memastikan keberadaan anggota penguatkuasa SWCorp disedari oleh masyarakat supaya dapat mengurangkan risiko kegiatan pembuangan sampah haram,” jelasnya.-UTUSAN