PARLIMEN: 20 ajaran sesat baharu dalam pemantauan Jakim, PDRM - Mohd. Na’im 

PARLIMEN: 20 ajaran sesat baharu dalam pemantauan Jakim, PDRM – Mohd. Na’im 

DR. MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 20 ajaran sesat terbaharu dalam pemantauan secara khusus Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam di Negeri-Negeri dan Cawangan Khas serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kerajaan menyedari bahawa ajaran sesat atau isu-isu ancaman akidah masih lagi wujud sekalipun telah difatwakan dan dikenakan tindakan.

Jelasnya, pada masa ini, kumpulan dan individu yang membawa fahaman menyeleweng ini banyak bergerak melalui media sosial atau dalam talian.

“Bagi melaksanakan pendekatan yang lebih tersusun untuk membendung penularan ajaran sesat ini, Jakim telah memperkasakan penyelarasan tindakan melalui jawatankuasa sedia ada dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan juga agensi berkaitan di peringkat Persekutuan antaranya Jawatankuasa Pemandu Ajaran Sesat (JAPAS), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (JAPPIS) dan Panel Pakar Akidah (PPA).

“Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 5 Mei 1996 telah memutuskan pandangan hukum supaya umat Islam di negara ini berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah WalJamaah sama ada dari segi akidah, syariah mahupun akhlak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah pengawalan ajaran sesat dan  jumlah ajaran sesat yang muncul di negara ini.

Mengulas lanjut Mohd. Na’im berkata,  Jakim telah mengambil beberapa langkah dan pendekatan bagi mengekang ajaran sesat.

Kata beliau, Jakim memperkukuh kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan JAIN melalui jaringan dan kolaborasi dalam aspek penyelidikan, siasatan serta pengesanan terhadap ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng.

“Selain itu, mendapatkan pandangan daripada Panel Pakar Akidah (PPA) terdiri daripada tenaga-tenaga pakar dalam bidang akidah dan aliran pemikiran dalam memberi nasihat terhadap isu-isu akidah umat Islam di Malaysia.

“Pada masa sama, melaksanakan kajian komprehensif sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). 

“Seterusnya, mengesyorkan kepada Jabatan Mufti Negeri-Negeri agar mengeluarkan fatwa mengenai ajaran terbabit mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI,” katanya.

Antara lain, kata beliau, mengaktifkan platform perbincangan melalui JAPAS dan Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia (MKJ) bagi mengemaskini maklumat dan pelan tindakan.

“Selain itu, mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan.

“Menggiatkan usaha dan memanfaatkan platform media baharu/dalam talian dengan menganjurkan sesi-sesi diskusi ilmiah, penjelasan dan perkongsian ilmu untuk memaham serta menyedarkan masyarakat akan kewujudan aliran-aliran pemikiran dan ajaran serta doktrin yang menyeleweng tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya