KUALA LUMPUR: Seramai 1.6 juta warga emas didapati mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dibimbangi akan menyukarkan mereka untuk bersara dalam keadaan yang selesa.
Jumlah tersebut mewakili 33 peratus daripada 4.9 juta pencarum KWSP yang berumur 40 tahun ke atas dan belum mencapai umur usia 55 tahun setakat 31 Ogos lalu.
Malah, 1.4 juta daripada jumlah pencarum tersebut merupakan ahli tidak aktif iaitu ahli yang tidak mempunyai apa-apa caruman dalam tempoh 12 bulan terakhir.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelbagai langkah dan inisiatif sudah, sedang serta akan dijalankan oleh KWSP bagi membantu ahlinya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan mereka.
Menurut beliau, antaranya di bawah program i-Saraan, kerajaan memberikan memberikan insentif khas sebanyak 15 peratus daripada jumlah caruman ahli iaitu sehingga RM500 setahun atau RM5,000 had maksimum padanan seumur hidup.
“Kerajaan juga akan memberikan insentif caruman padanan bagi setiap ringgit yang dicarumkan oleh suri rumah di bawah umur 55 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih di bawah program i-Suri.
“(Mereka akan) menerima insentif seumur hidup sebanyak RM3,000 setiap individu tertakluk kepada insentif padanan maksimum sebanyak RM300 setahun,” katanya di dalam jawapan bertulis, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang memintanya menyatakan strategi akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk berjuta rakyat Malaysia dalam umur persaraan yang kini berhadapan dilema kerana ketiadaan simpanan KWSP mencukupi.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan memberi ruang kepada ahli yang bekerja dan mempunyai majikan untuk memilih mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11 peratus pada bila-bila masa.
Jelasnya, seramai 263,000 ahli KWSP sudah mendaftar untuk membuat caruman melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja setakat Ogos lalu.
“Selain itu, ahli turut boleh menambah caruman dengan membuat Caruman Sukarela tertakluk kepada had caruman tahunan sebanyak RM100,000 setahun.
“Pada tahun 2024, seramai 872,000 ahli telah membuat caruman sukarela setakat 31 Ogos lalu, dengan jumlah amaun caruman sebanyak RM9.39 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan melalui Program i-Sayang membenarkan suami memperuntukkan dua peratus daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri mereka.
“Sejak program ini dilancarkan pada Mac 2023, lebih kurang 86,000 suami telah menyertai program ini yang melibatkan jumlah pindahan caruman sebanyak RM22.1 juta setakat Ogos lalu,” jelasnya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, KWSP sudah memperkasakan lagi pasukan Relationship and Advisory KWSP di seluruh negara kini telah ditambah kepada 38 kenderaan bergerak, 14 trak bergerak dan 346 anggota.
Katanya, usaha itu akan membantu KWSP mempergiatkan lagi aktiviti jangkauan dan kesedaran kewangan terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar dan kawasan terpencil.
“KWSP juga sudah melancarkan kempen ‘Jom Tambah, Simpan Baik-Baik’ yang diperkenalkan mulai bulan Januari 2023 yang lalu bagi merancakkan lagi promosi caruman sukarela ke seluruh negara,” ujarnya.-UTUSAN