KUALA LUMPUR: Di saat drama bersiri popular Squid Game musim kedua hangat menjadi bualan, pelakon Korea, Park Sung Hoon menerima kritikan hebat selepas memuat naik foto tidak senonoh di Instagram Story.
Difahamkan foto tidak senonoh yang dimuat naik oleh pelakon tersebut merupakan poster parodi melibatkan drama bersiri popular itu.
Dalam perkongsian tersebut, poster parodi itu telah memaparkan beberapa wanita menayang aksi ranjang dan berpakaian mencolok mata ketika mengenakan pakaian seragam drama terbabit.
Menyedari perkara itu, hantaran tersebut telah berjaya dirakam oleh warganet sebelum pelakon itu memadam perkongsian berkenaan.
Kesal dengan tindakan tersebut, pihak agensi yang mewakili Sung Hoon tampil membersihkan nama aktor itu dan mendakwa dia tidak sengaja memuat naik hantaran berkenaan.
“Sung Hoon secara tidak sengaja memuat naik foto itu di Instagramnya selepas membaca beberapa mesej.
“Dia sendiri terkejut dan segera memadamnya. Dia sedang merenung semula tindakannya,” ujarnya.
Sejak minggu lalu, drama bersiri Squid Game musim kedua telah mencetuskan fenomena luar biasa kerana muncul dengan plot dan cabaran yang lebih ekstrem berbanding musim sebelumnya.
Drama popular tujuh episod itu telah mengekalkan pemain utamanya, Lee Jung-jae yang memegang watak Gi-hun atau No. 456 selain memperkenalkan beberapa pelakon baharu termasuk Park Soon Hoon.