KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan blogger kontroversi, Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris ditahan di kediamannya di Putrajaya di sini pagi tadi dipercayai terbabit kes penipuan menggunakan nama sebuah syarikat.
Difahamkan, penahanan terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris itu dilakukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman kira-kira pada 3 pagi.
Turut difahamkan, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes memanipulasikan nama sebuah syarikat bagi mengutip dana daripada orang awam susulan satu laporan polis dibuat seorang menteri pada Julai lalu.
Dalam tangkapan itu, pihak polis turut merampas telefon bimbit milik Papagomo dan blogger terbabit kini ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini bagi siasatan lanjut.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Ketua Polis Negara, Tan sri Razarudin Husain berkata, pihaknya membuka siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kes tipu.
“Dia (Papagomo) ditahan berkaitan kes AMLA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, tular video di aplikasi Tiktok berkaitan penahanan blogger Papagomo oleh pihak polis di kediamannya, pagi tadi.
Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam kenyataan berkata, Wan Muhammad Azri ditahan kira-kira pada 1.30 pagi dan laporan ini terkait satu isu berkenaan syarikat Invoke Solutions.
“Mahkamah setelah mendengar hujahan dan telah memerintahkan reman satu hari. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” ujarnya. – UTUSAN