Pantau sijil halal palsu, kaut untung tipu pengguna

Pantau sijil halal palsu, kaut untung tipu pengguna

KEGIATAN sindiket penipuan logo dan pensijilan halal dikesan semakin membimbangkan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan sindiket penipuan logo dan pensijilan halal dikesan semakin membimbangkan apabila ada yang cuba mengambil kesempatan terhadap kelemahan kawal selia untuk mengaut keuntungan.

Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Salwani Arbak berkata, modus operandi sindiket ini semakin licik dengan menggunakan taktik pemalsuan sijil, rasuah dan mengimport produk tidak halal untuk dijual di pasaran tempatan.

Menurut beliau, terdapat pelbagai kaedah digunakan untuk menipu pengguna seperti mencipta sijil palsu yang menyerupai sijil halal tulen yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mengubah butiran pada sijil halal sedia ada. 

“Lebih membimbangkan, sindiket ini turut dikesan merasuah pegawai di pintu-pintu masuk utama seperti Pelabuhan Klang bagi membolehkan barangan import bukan halal memasuki negara tanpa pemeriksaan ketat.

“Barangan tersebut kemudiannya akan dibawa ke gudang untuk dicampur dengan daging halal dan dibungkus semula dengan logo halal palsu sebelum diedarkan di pasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dr. Salwani Arbak kini sedang menyiapkan sebuah projek buku bertajuk: Cabaran dan Peluang Eksport Halal Malaysia.

Beliau juga turut terlibat secara aktif sebagai penyelidik dalam pelbagai bidang seperti logistik halal, pengurusan strategik antarabangsa, keselamatan pelabuhan dan ekonomi gig.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak 56 kes penipuan logo dan pensijilan halal melibatkan nilai rampasan RM1.813 juta dilaporkan tahun ini setakat Isnin lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh dilaporkan berkata, kesalahan itu dilakukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Menurut beliau, setakat ini lebih 800,000 pemeriksaan dijalankan sepanjang tahun ini dengan RM140,500 kompaun telah dikeluarkan terhadap pihak yang terlibat.

Mengulas lanjut, Salwani berkata, motif utama sindiket ini adalah berdasarkan keuntungan kewangan semata-mata.

Kata beliau, dengan menggunakan sijil halal palsu, mereka mampu menjual produk pada harga premium dan memanfaatkan kepercayaan pengguna Muslim terhadap jenama tertentu.

“Kelemahan dalam pengawasan kawal selia menyumbang kepada peningkatan kes seperti ini. Pihak berkuasa mungkin kekurangan sumber manusia untuk memantau setiap pensijilan, manakala pengguna pula kurang peka tentang cara mengesahkan kesahihan sijil halal.

“Selain itu, ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) enggan memohon sijil halal kerana menganggap kos dan prosedurnya membebankan walaupun bantuan sudah disediakan melalui agensi berkaitan,” katanya.

Tambah Salwani, penggunaan sijil halal palsu bukan sahaja melanggar undang-undang dan menjejaskan keyakinan pengguna Muslim, malah boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Produk tidak halal berisiko tercemar dengan bakteria berbahaya akibat kaedah pemprosesan yang tidak bersih.

“Lebih membimbangkan, bahan seperti alkohol dan gelatin babi jika diambil secara berterusan, boleh meningkatkan risiko penyakit seperti kolesterol tinggi dan obesiti. 

“Dari sudut rohani, pengambilan produk haram dianggap melanggar hukum syarak, sekali gus memberi kesan kepada kesejahteraan terhadap pengguna Muslim,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya