Pahang belum muktamad harga air beli dari Terengganu

Pahang belum muktamad harga air beli dari Terengganu

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Harga air yang dibeli dari Terengganu untuk kegunaan kawasan perindustrian Gebeng dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di sini belum dimuktamadkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemasangan paip dan infrastrukturnya sudah pun siap sepenuhnya dan dijangka dirasmikan di Gebeng pada 12 Disember ini.

“Harga masih dalam pertimbangan kerajaan negeri (Pahang) dan Terengganu,  sebelum 12 Disember ini kita akan muktamadkan (harga belian air).

“Ia (pembinaan paip) sudah siap dan kita hendak lancar pada 12 Disember ini bersama dengan Menteri Besar Terengganu sekali dan ia akan selesaikan masalah air di Gebeng,” katanya dalam sidang akhbar selepas penggulungan Mesyuarat ketiga penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, projek bekalan air dengan kos RM115 juta itu mampu membekalkan kira-kira 90 juta liter air sehari sekali gus dapat menyelesaikan masalah bekalan air khususnya di Gebeng.

Katanya, projek itu penting bagi menyediakan keperluan air kepada industri terutama di kawasan perindustrian Gebeng dan kawasan MCKIP.

Sementara itu beliau berkata, peruntukan kepada semua wakil rakyat di Pahang termasuk pembangkang akan ditambah tahun depan.

Katanya, jumlah penambahan itu akan dibincangkan dengan pegawai kewangan negeri.

Difahamkan sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang menerima peruntukan berjumlah RM35,000 setahun manakala wakil rakyat kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM42,000 setahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya