ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan peningkatan hasil padi sekitar 46,000 tan metrik susulan pelaksanaan program penanaman padi lima musim dua tahun di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hasil padi semasa dianggarkan lima tan metrik per hektar berpotensi mencapai tahap 5.6 tan metrik per hektar apabila Fasa 1:15 Blok Pengairan Tersier di bawah program itu dibangunkan.
Kata beliau, pengeluaran padi dijangka meningkat daripada 775,000 tan metrik dengan nilai RM1.008 bilion kepada 821,000 tan metrik dengan nilai RM1.068 bilion iaitu peningkatan sebanyak enam peratus di kawasan itu.
“Malah, purata peningkatan pendapatan kasar bagi pesawah pula dijangka meningkat daripada hampir RM31,000 kepada RM46,000 setahun dengan terlaksananya musim tambahan penanaman padi.
“Peningkatan pendapatan ini adalah sebanyak 50 peratus yang akan memanfaatkan seramai 6,127 pesawah di kawasan seluas 10,730 hektar yang terlibat,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Cadangan Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong program itu di sini, hari ini.
Mohamad berkata, fasa pertama program itu bernilai RM761.23 juta, melibatkan Pembangunan dan Penyelenggaraan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier (RM526.37 juta) dan Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu (RM234.86 juta).
“Tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa program peningkatan ini perlu fasa demi fasa. Diumum awal dahulu kira-kira RM5 bilion secara keseluruhan, tapi fasa pertama ini adalah RM761.23 juta yang ditandatangani dan sedang berjalan.
“Projek yang diberi kelulusan prinsip pada 28 Jun 2023 ini akan dilaksanakan melalui Request For Proposal (RFP) secara Kerjasama Awam Swasta,” katanya.
Mohamad berkata, berdasarkan kajian, KPKM bersama MADA menjangkakan pembangunan infrastruktur pengairan secara menyeluruh di Kawasan Muda itu bakal melonjakkan lagi produktiviti hasil padi seterusnya menjamin kestabilan bekalan beras negara.
“Jika bergantung kepada import dan kalau berlaku sesuatu perkara di luar negara, hasil mereka merosot dan sebagainya akan berlaku lonjakan harga seperti tahun lepas, dan kita harap kalau berulang peristiwa itu kita ada persediaan dengan beras dalam negara,” katanya.
Mengenai bencana banjir di sawah termasuk dalam kawasan MADA, Mohamad berkata, persediaan dilakukan dengan cadangan menambah kawasan jelapang-jelapang padi di negara ini.
“Bila bencana kecil tidak lah menjadi masalah sangat, tapi bila datang bencana yang besar sebab itu kena ada jelapang padi tempat lain khasnya di Sabah dan Sarawak, begitu juga negeri-negeri lain yang bersetuju sawah terbiar lama dipulihkan semula,” katanya. – UTUSAN