ALOR SETAR: Seorang tukang sapu didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam setelah mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melibatkan komunikasi lucah termasuk untuk tujuan komersial antara Januari hingga Februari lalu.
Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap setiap pertuduhan dihadapi Kamarulnazri Desa, 45, yang membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda ditetapkan, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 24 bulan untuk keempat-empat pertuduhan itu.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video sumbang dan lucah di laman media sosial ‘X’ (Twitter) @Ayie_Noryn2016. Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.36 malam, 26 Januari lalu dan pukul 1.12 pagi, 4 Februari lalu.
Dalam pertuduhan ketiga, dia melalui media sosial sama didakwa secara sedar memberikan komunikasi lucah iaitu video melalui pautan aplikasi Telegram ‘SU: GROUP Collection 4th’ bagi maksud komersial kepada orang lain kira-kira pukul 2.50 petang, 8 Februari lalu.
Untuk pertuduhan keempat, dia secara sedar memberikan komunikasi lucah iaitu video melalui pautan aplikasi Telegram ‘SU: Group Collection 6th’ juga bagi maksud komersial, kira-kira pukul 6.20 petang, 17 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Faten Hadni Khairuddin mengikut Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta588).
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan memandangkan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan selain perlu menyara empat anak yang masih belajar di universiti, sekolah menengah dan sekolah rendah.
Namun, pihak pendakwaan memohon hukuman berat memandangkan impak penggunaan media sosial oleh tertuduh yang mempromosi seks bebas dan berkumpulan, termasuk video isterinya melakukan hubungan seks bersama lelaki lain dengan kehadiran tertuduh.
“Fakta kes menunjukkan dia mengaku menjual video yang menjadi koleksi sejak 2016. Begitu banyak video terkandung dalam Telegram seperti eksibit dikemukakan dan ini adalah kesalahan serius yang kandungannya turut boleh diakses kanak-kanak.
“Dia menyatakan telah insaf dan menyebut tentang anak-anaknya yang berada di universiti serta masih bersekolah tetapi pernah dia terfikir mengenai anak-anaknya semasa menyebarkan kandungan itu, ketika merakam aksi isteri sendiri bersama lelaki lain dan sebarkan. Waktu itu di mana anak-anak tersebut,” katanya.
Difahamkan tertuduh tidak membayar denda ditetapkan dan dikenakan hukuman penjara. – UTUSAN