Padah pandu berbahaya, lelaki dipenjara dan denda

Padah pandu berbahaya, lelaki dipenjara dan denda

MUHAMMAD SYAFIQ Jefri didakwa atas tuduhan memandu secara berbahaya di Mahkamah Majistret Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bakal bapa dihukum penjara 10 hari dan didenda RM10,000 selain hilang kelayakan memandu selama lima tahun selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya, Jumaat lalu.

Majistret Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd. Aliyas turut memerintahkan tertuduh, Muhammad Syafiq Jefri, 28, dihukum penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, mahkamah juga memutuskan lelaki itu hilang kelayakan memandu selama lima tahun selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Syafiq didakwa memandu sebuah kereta secara melulu sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain di Jalan Lingkaran Dalam, di sini pada pukul 3.45 pagi, 27 Disember lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Inspektor S. Vikineswary meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh.

“Tertuduh telah memandu melawan arus, membuat pusingan ‘U’ di tempat tidak dibenarkan, melanggar lampu isyarat merah serta memandu secara ‘zig zag’ dalam cubaan melarikan diri daripada polis,” katanya.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela dalam rayuannya meminta hukuman ringan kerana baharu mendapat pekerjaan di sebuah kedai makan selain  menanggung isteri yang sedang mengandung dan seorang ibu yang uzur.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya