Padah miliki bahan bacaan Daesh, dipenjara satu tahun enam bulan

Padah miliki bahan bacaan Daesh, dipenjara satu tahun enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dipenjara satu tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas empat pertuduhan memiliki pelbagai bahan berkaitan kumpulan pengganas, Daesh enam bulan lalu. 

Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Norulaini Supardi, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara ke atas keempat-empat pertuduhan itu berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 23 Jun lalu. 

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memiliki tiga buah buku, dua video dan satu lukisan berkaitan kumpulan pengganas, Daesh di sebuah rumah di Residensi Begonia TTDI Grove, Kajang, pada pukul 9.25 pagi, pada 23 Jun lalu. 

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda, dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana bahan yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu. 

Bagi pertuduhan keempat, Muhamad Norulaini didakwa telah menyediakan satu artikel bertajuk ‘Milatun-Nabiyyiin vs Millatul-Musyrikin’ yang berkaitan Daesh di tempat, masa dan tarikh yang sama. 

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana bahan yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu. 

Terdahulu, satu laporan pakar dibacakan kepada pengawal keselamatan itu yang antara lainnya menyatakan bahan-bahan yang telah dianalisa mempunyai elemen yang subversif atau mempunyai kecenderungan melahirkan kebencian kepada individu/kerajaan atau pemimpin dan boleh menggugat kesejahteraan negara. 

Menurut laporan tersebut, bahan yang dianalisis turut didapati menyokong ideologi kumpulan militan Daesh dan boleh mendorong perasaan benci serta ketidakpuasan hati yang ekstrem. 

“Sokongan terhadap ideologi ini dilihat berbahaya kerana mampu mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian negara, sekali gus menjejaskan kestabilan masyarakat yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan,”jelas laporan itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainaa Ridzwan mencadangkan hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan kepada masyarakat luar bahawa memiliki bahan-bahan ini adalah satu kesalahan besar.  

“Kes ini melibatkan kesalahan keselamatan dan ketika laporan pakar dibacakan secara jelas menyatakan item-item ini adalah item yang boleh membawa porak-peranda kepada negara kita. Ia adalah satu item yang memberbahaya dan boleh meruntuhkan demokrasi jika rakyat terpengaruh dengan item-item ini. 

“Kita dapat lihat betapa taksubnya tertuduh ini sehingga boleh menulis satu artikel berkaitan dengan ideologi Daesh,” kata Nur Ainaa.  

Bagaimanapun, Muhamad Norulaini yang tidak diwakili peguam itu merayu kepada mahkamah untuk memberikan hukuman yang rendah atas alasan beliau merupakan ketua keluarga dan perlu menanggung ahli keluarganya. 

“Saya mempunyai lima orang anak dan salah seorang anak saya telah meninggal semasa saya di dalam penjara. Saya menyesal dan berjanji selepas ini tidak akan terlibat dengan kumpulan pengganas kerana ia merosakkan keluarga saya sendiri,” kata Norulaini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya