KUALA LUMPUR: Seorang pemandu peribadi didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bermain judi, Rabu lalu.
Masjitret Aina Azahra Ariffin menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd. Hisyamizan Mohamed Shafie, 27, yang turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Hisyamizan didapati bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit jenama Redmi A3 miliknya sekitar pukul 9.30 malam, 18 Disember lalu di Jalan Chow Kit di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam bela, Ashraf Fahmi Abdul Aziz yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan anak guamnya mempunyai kekangan kewangan dan merupakan penanggung utama keluarga.
“Tertuduh mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan isterinya juga tidak bekerja. Dengan gaji sebanyak RM1,500, dia juga perlu menanggung dan menjaga ibunya yang menghidap penyakit jantung serta darah tinggi. Dimohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum terhadapnya,” katanya. – UTUSAN