KUALA LUMPUR: Lebih satu juta pekerja di Sarawak boleh menarik nafas lega apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 (RUU OBS), hari ini.
RUU OBS yang dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong diluluskan dengan sokongan sebulat suara.
Pindaan Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan 2024) melibatkan 75 fasal merangkumi pelbagai aspek buruh utama untuk memastikan keseragaman dengan Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh Sarawak.
Ia memastikan hak dan kebajikan pekerja di Semenanjung Malaysia dan 1.46 juta pekerja Sarawak adalah setara.
Steven Sim berkata, kelulusan RUU OBS merupakan satu detik yang bermakna kerana ia merupakan perkara yang dinantikan oleh pekerja di Sarawak sejak 20 tahun lalu bagi mendapatkan hak dan perlindungan yang sama seperti pekerja di Semenanjung serta Sabah.
Kata beliau, RUU OBS merupakan undang-undang perburuhan terakhir yang berjaya disempurnakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada tahun ini, selain undang-undang melibatkan isu gaji pekerja, keselamatan sosial dan sebagainya.
“Beberapa penambahbaikan kepada undang-undang perburuhan Sarawak selepas lulusnya RUU pada hari ini. (Sebagai) contoh, pemakaian Ordinan sebelum ini hanya dihadkan kepada pekerja bergaji di bawah RM2,500 dan pekerja di bawah jadual khusus sahaja.
“Maksudnya, perlindungan dan hak yang diberikan itu tidak merangkumi pekerja bergaji RM2,500 ke atas tetapi selepas pindaan, kini pemakain Ordinan diperluaskan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji dan jenis pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Malah, Stesen Sim berkata, dahulu bayaran kerja lebih masa, cuti umum dan hari rehat dihadkan kepada pekerja bergaji di bawah RM2,001 tetapi kini ia sudah diluaskan serta hadnya dinaikkan kepada RM4,000 sebulan.
“Waktu bekerja 48 jam seminggu, kini dikurangkan kepada 45 jam, cuti bersalin pula dinaikkan kepada 98 hari. Cuti sakit dan cuti hospitalisasi (yang) dahulunya disatukan tetapi sekarang ia diasingkan.
“Dulu ada empat hari pelepasan wajib iaitu Hari Kebangsaan, Hari Pekerja, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Negeri. Selepas pindaan, ada enam pelepasan wajib (iaitu ditambah dengan) Hari Malaysia serta Hari Kemerdekaan Sarawak,” jelasnya.
Tambah beliau, denda sekiranya terdapat kesalahan melanggari Ordinan turut dinaikkan dari tidak melebihi RM10,000 kepada tidak melebihi RM50,000.
“Dahulu tiada had umur minimum pekerja kanak-kanak, sekarang ada had iaitu 13 tahun. Ini pun untuk pekerjaan-pekerjaan ringan sahaja. Dahulu tiada cuti paterniti tetapi sekarang ada iaitu tujuh hari.
“Dahulu tiada peruntukan untuk larangan diskriminasi, buruk paksa dan gangguan seksual di tempat kerja, tetapi sekarang sudah ada di Sarawak,” katanya.
Tambahnya, penambahbaikan tersebut merupakan perubahan drastik yang dilakukan oleh kerajaan untuk memberi perlindungan kepada pekerja-pekerja di Bumi Kenyalang itu.-UTUSAN