REMBAU: Operasi mencari dan menyelamat seorang warga emas berusia 78 tahun dari Kampung Air Melintang, Kota di sini, yang hilang sejak petang Isnin lalu dihentikan semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, operasi mengesan Mohd. Mahat Said yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dihentikan berikutan pasukan penyelamat tidak menemukan sebarang petunjuk kehilangannya.
Menurutnya, operasi yang disertai lebih 200 individu terdiri dari pelbagai agensi penyelamat serta penduduk kampung itu juga telah menggunakan pelbagai kaedah namun masih gagal menemukan mangsa.
“Pasukan penyelamat menggunakan khidmat empat anjing pengesan iaitu dua dari Unit Anjing Pengesan (K9) K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan dua lagi K9, Pasukan Bomba dan Penyelamat.
“Kami juga menggunakan dron mengesan haba badan semasa pencarian di kawasan belukar dan kebun getah, selain khidmat anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shaik Abd. Kadar berkata, kes berkenaan kini disiasat sebagai kes Orang Hilang (OH) dan pihak polis berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan tersebut dapat menyalurkannya kepada pihak polis di nombor 06-6851999. – UTUSAN