GERIK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota tentera yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum di sini pada 30 November lalu, ditamatkan semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, operasi itu dihentikan pada pukul 6 petang selepas tiada sebarang petunjuk penemuan mangsa.
“Operasi mencari mangsa telah dijalankan oleh pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak kejadian itu dilaporkan dengan seorang mangsa ditemukan meninggal dunia akibat lemas manakala seorang lagi masih hilang.
“Bagaimanapun, selepas 12 hari mangsa masih belum dijumpai dan pasukan polis menamatkan operasi pencarian manakala usaha pencarian anggota itu masih diteruskan oleh ATM,” katanya di sini.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dilaporkan berkata, misi pencarian Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi, 24, diteruskan meskipun tiada sebarang petunjuk baharu.
Beliau berkata, buat masa ini tiada perbincangan untuk menghentikan operasi mencari anggota yang bertugas di 22 Komando, Kem Iskandar Mersing, Johor.
Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zulhilmi dan Lans Koperal Mohd. Afandi Jahwin dari pasukan 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka, hilang selepas dihanyutkan arus ketika menyeberangi Sungai Merah bersama tujuh anggota lain.
Bagaimanapun, mayat Mohd. Afandi yang berasal dari Sarawak itu dijumpai di tepi sungai oleh pasukan penyelamat kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup pada 1 Disember lalu.
Difahamkan, kejadian sekitar pukul 6 petang itu berlaku ketika kedua-dua anggota komando terbabit sedang menyertai gerakan operasi Kota Echo/Foxtrot di kawasan hutan simpan berkenaan. – UTUSAN