KUALA LUMPUR: Sebanyak 115 lori diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Mengejut Puspakom di sini hari ini bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa mematuhi standard yang ditetapkan.
Dalam operasi bermula 11 pagi itu, sebanyak 69 notis saman serta 29 kenderaan membabitkan pelbagai kesalahan telah diambil tindakan oleh pihak JPJ.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi itu dilakukan tanpa memaklumkan kepada pihak Puspakom terlebih dahulu seperti arahan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
“Operasi itu akan dilaksanakan secara berfasa dan bermula 9.30 pagi ini di seluruh negara melibatkan 350 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
“Di Puspakom Wangsa Maju ini, sebanyak tujuh kenderaan masing-masing lima kereta dan dua lori telah disita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi itu di Puspakom Wangsa Maju di sini hari ini.
Menurutnya, fasa pertama adalah sekatan jalan raya yang telah dilakukan JPJ di lebuh raya terpilih manakala fasa kedua membabitkan pemeriksaan secara mengejut di Puspakom.
“Kita (JPJ) mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori antaranya menggunakan tayar celup yang tidak selamat dan berada dalam keadaan uzur yang mungkin boleh meletup pada bila-bila masa.
“Malah, ada sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit,” katanya.
Susulan itu, penyelia dan kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ esok untuk disoal siasat.
“Kita juga akan membuka satu kertas siasatan kemas kini akan diberikan apabila maklumat lanjut diterima,” katanya.- UTUSAN