TEMERLOH: Seorang pemandu treler membawa muatan amang bijih timah nyaris maut apabila kenderaan berat dipandunya itu gagal mendaki bukit dan berundur di Jalan Bukit Damar-Temerloh, semalam.
Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner. Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, lori milik sebuah syarikat pengangkutan tersebut mengundur kira-kira 50 meter sebelum terbalik.
“Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) menerima panggilan daripada seorang pengadu memaklumkan lori itu mengundur, terbabas dan jatuh di cerun bahu sebelah kanan jalan.
“Ketika pegawai penyiasat tiba di lokasi kejadian, pemandu lori tiada di situ. Dimaklumkan mangsa pergi ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecederaan ringan dialaminya,” katanya yang memaklumkan polis belum menerima laporan berhubung kejadian. – UTUSAN