KUALA LUMPUR: Pelakon dan anggota kumpulan K-Clique, Noki mengakui sikapnya yang selektif dalam mencari pasangan hidup menjadi salah satu faktor utama dirinya masih membujang sehingga hari ini.
Kata Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, 30, dia enggan membuat keputusan tergesa-gesa untuk memilih calon isteri yang terbaik buat dirinya selain menyerahkan kepada ketentuan Ilahi.
“Mungkin saya ini terlalu memilih. Tapi kenalah cerewet sebab ini soal peneman hidup sampai ke akhir hayat.
“Insya-Allah, kalau Allah sudah tetapkan jodoh, maka jadilah cuma saya enggan tergesa-gesa. Kalau ada yang sesuai dan boleh puaskan hati ibu saya, itu lebih baik,” katanya.
Katanya lagi, sikap wanita yang kurang segan untuk mendekati seseorang lelaki pada masa kini membuatkan dia berfikir-fikir mencari pasangan hidup yang tepat
Noki yang kini membintangi drama bersiri, Sebelum Titik Noktah itu berkata dia lebih suka wanita yang ‘jual mahal’ dan sukar untuk didampingi.
“Saya perasan ramai wanita sekarang lebih berani mendekati lelaki, mungkin kerana zaman dah berubah. Saya secara peribadi kurang tertarik dengan wanita seperti itu. Kita lelaki lebih suka sesuatu yang susah untuk diperoleh.
“Ada kepuasan bila kita perlu berusaha lebih untuk memikat hati seseorang. Tapi setakat ini, belum ada lagi yang buat saya begitu,” katanya.
Reda jodohnya untuk berkahwin masih belum tiba seperti ahli kumpulan yang lain, Noki nekad mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya seninya terlebih dahulu.
“Saya sekarang lebih fokus kepada kerja, terutama bidang lakonan. Keinginan untuk kahwin memang ada, perasaan itu semakin kuat bila lihat rakan-rakan macam MK dan Tuju sudah berkahwin, malah ada anak.
“Dulu, saya pernah letak sasaran nak kahwin pada usia 25 tahun, sebab ikut sunnah Nabi. Tapi, bila dah melangkah ke usia 30, rasa macam lima tahun itu berlalu terlalu cepat.
“Bila fikir balik, mungkin Allah nak saya capai sesuatu dalam kerjaya dulu sebelum beri rezeki jodoh. Kalau ada, saya anggap itu bonus,” ujarnya.
Terdahulu, Noki pernah dikaitkan dengan pelakon Ezzany Jasny selepas kerap dilihat bersama namun, mereka menegaskan hanya berkawan. -UTUSAN