Negara rugi RM500 bilion lewat teroka nadir bumi

Negara rugi RM500 bilion lewat teroka nadir bumi

TERDAPAT 10 negeri membabitkan 29 kawasan mempunyai unsur unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran RM810 bilion.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kelewatan memulakan industri nadir bumi boleh mengakibatkan Malaysia kerugian bersamaan satu peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang berjumlah lebih RM500 bilion menjelang 2050 dengan peluang pekerjaan 25,000 orang.

Felo Industri Pusat Kelesta­rian Mineral dan Teknologi Pe­mulihan Sumber (Pusat SMaR­RT) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, perkembangan industri nadir bumi negara pada ketika ini membimbangkan kerana ia sangat perlahan dan merugikan Malaysia termasuk penjanaan pendapatan untuk negeri-negeri yang kaya dengan hasil bumi berkenaan.

Katanya, industri nadir bumi perlu dibangunkan dengan bersungguh-sungguh selain kerenah birokrasi adalah sebahagian punca kerencatan perkembangan industri berkenaan.

Tambahan katanya, dengan kedudukan simpanan nadir bumi ketika ini hampir 70 peratus berada dalam tiga negeri pembangkang iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu, ia menjadi salah satu ‘duri dalam daging’ bagi Kerajaan Pusat.

“Jika dilihat statistik beberapa kajian nadir bumi negara (jika kita mengambil manfaat lima peratus sahaja daripada jumlah 16 juta tan nadir bumi negara), setiap negeri dianggarkan kerugian RM300 ke RM500 juta setahun daripada royalti perlombongan nadir bumi.

“Jumlah royalti antara 12 peratus hingga 15 peratus, hasil pajakan tanah yang mana ia bergantung pada kuantiti simpanan yang ada.

“Untuk negara, kerugian dalam sektor huluan atau perlombongan ini menjelang 2030 adalah lebih daripada RM2 bilion dengan terlepasnya peluang pekerjaan sebanyak 3,000 orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Badhrulhisham yang juga Presiden Nadibumi International Sdn. Bhd., berkata, untuk sektor pemprosesan pula, negara akan kerugian lebih RM7 bilion dalam pendapatan dengan anggaran hilangnya peluang pekerjaan 1,000 orang menjelang 2030.

Bagi sektor hiliran dalam pemprosesan ‘metal refining’ pula katanya, negara akan mengalami kerugian RM4 bilion dengan terlepasnya peluang pekerjaan 300 orang, juga menjelang 2030.

“Untuk pendapatan daripada sektor hiliran seperti super magnet pula, menjelang 2030, kita akan kerugian lebih RM8 bilion pendapatan dengan peluang pekerjaan dianggarkan 10,000 pekerjaan.

“Jika seterusnya kita tidak berjaya mewujudkan kilang motor elektrik dengan menggunakan super magnet tersebut, maka negara akan kerugian pendapatan lebih RM5 bilion dengan peluang pekerjaan 10,000 orang menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata, negara juga akan terlepas peluang pembangunan teknologi tempatan, pembangunan modal insan dalam bidang nadir bumi dan memanfaatkan tenaga kerja terlatih seperti dari kilang Lynas di Gebeng dekat sini.

“Negara juga akan terlepas peluang pelaburan dalam pembuatan kenderaan elektrik (EV) tidak kira dari dalam atau luar, akan berlaku jika kita ada kilang-kilang pemprosesan dan hiliran,” katanya.

Terdapat 10 negeri membabitkan 29 kawasan mempunyai unsur nadir bumi tempatan, Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran RM810 bilion. Ia terdapat di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Tiga negeri di Pantai Timur, Terengganu, Kelantan dan Pahang serta dua di negeri di utara iatu Perak dan Kedah merekodkan jumlah IAC-REE melebihi satu juta tan. Terengganu paling banyak di Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kemaman dan Dungun membabitkan 7.2 juta tan dengan nilai pasaran berjumlah RM362 bilion.

Kelantan negeri kedua di Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang membabitkan 2.5 juta tan IAC-REE, nilai pasaran RM2.9 bilion, Perak (1.6 juta tan), Pahang (1.2 juta tan) dan Kedah (1.1 juta tan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya