KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut yang juga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh gagal dalam saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi dalam penghakiman ringkasnya menyatakan Hannah atau nama penuhnya, Yeoh Tseow Suan gagal membuktikan bahawa kenyataan yang dibuat Musa dalam satu forum empat tahun lalu memfitnahnya.
“Walaupun forum awam mestilah (dijalankan) dengan seimbang demi menjaga reputasi, saya dapati dalam kes ini, plaintif gagal membuktikan bahawa kenyataan (dibuat Musa) adalah memfitnah, forum tersebut merupakan satu keistimewaan (privilege).
“Tiada niat jahat dibuktikan dan defendan (Musa) mempunyai alasan munasabah dalam mengeluarkan kenyataannya berdasarkan pengakuan dan penulisannya (Hannah) dan penerbitan semula bukanlah dalam kawalannya.
“Hak mengikut Perlembagaan bagi kebebasan bersuara mesti dilindungi dengan teguh, terutamanya mengenai perkara yang berkepentingan awam dan kenyataan yang dibuat keadaan istimewa.
“Walaupun memberikan ucapan dengan penuh tanggungjawab adalah penting, namun tokoh awam mesti menjangkakan dan bertolak ansur dengan kritikan serta perdebatan yang kuat berhubung kenyataan dan tindakan mereka,” ujar hakim itu dalam penghakimannya yang disampaikan melalui e-review.
Mahkamah turut mengarahkan Hannah membayar kos sebanyak RM40,000. Peguam, Lim Wei Jiet yang mewakili Hannah ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.
Beliau turut memaklumkan pihaknya telah mendapat arahan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan dan akan berbuat demikian secepat mungkin.
Pada 3 Julai 2020, Hannah memfailkan saman dengan mendakwa Musa telah memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Yeoh menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
Selain itu, Arziah menyatakan, menjadi prinsip bahawa plaintif perlu membuktikan bahawa penerbitan kenyataan yang dikatakan menghasut itu telah dibuat oleh defendan namun dalam kes ini, penerbitan dibuat oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Berdasarkan pembelaan justifikasi, saya mendapati bahawa defendan (Musa) membuat kenyataannya berdasarkan penulisan akademik dan analysia oleh saksi pembelaan, Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff.
“Bukti yang turut diakui oleh plaintif menunjukkan bahawa beliau (Hannah) berdakwah mengenai agama Kristian melalui politik dan buku tulisannya bukan sahaja untuk mereka yang beragama Kristian tetapi kepada semua. Justifikasi tidak memerlukan bahawa setiap perkataan dibuktikan benar, cukup sekadar maksudnya.
“Pengakuan oleh plaintif ini juga menunjukkan asas kepada kenyataan yang dibuat defendan. Menurut pembelaan komen yang adil, kenyataan dibuat pada forum yang membincangkan mengenai isu keselamatan negara yang mana defendan mengeluarkan kenyataan sebagai bekas Ketua Polis mengenai ancaman keselamatan”ujar Arziah.
Tambah pesuruhjaya Kehakiman itu, forum itu dianjurkan oleh Kursi Institut Majlis Raja-Raja UiTM dan dengan itu mempunyai kredibiliti institusi manakala Musa sebagai bekas Ketua Polis Negara pula ada tanggungjawab moral serta sosial untuk bercakap mengenai perkara membabitkan negara.
“Tiada bukti sebarang niat jahat kerana defendan membuat kenyataan berdasarkan analisis akademik dalam konteks kebimbangan terhadap keselamatan negara.
“Defendan hanya penceramah jemputan tanpa mengetahui forum akan disiarkan, dan hanya mengetahui penstriman Facebook Live pada penghujungnya. Dia tidak mempunyai kawalan ke atas penerbitan (kenyataan) itu,” katanya.
Menurut saman yang difailkan, Hannah mendakwa, kenyataan dalam ucapan itu adalah tidak benar, menyusahkan, palsu, salah dan tidak berasas, selain dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, mencemarkan nama baik, memfitnah serta memusnahkan reputasinya.
Pada perbicaraan 5 Julai lalu, Musa dalam pernyataan saksinya, berkata, beliau tidak pernah ingin menyatakan secara literal bahawa Hannah ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, namun pergerakan Evangelism Menteri Belia dan Sukan itu mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara.
Musa yang memetik definisi ‘Evangelist’ daripada Cambridge English Dictionary, berkata ia mentafsirkan sebagai seseorang yang cuba memujuk orang ramai untuk menjadi Kristian, selalunya dengan mengembara dan menganjurkan perjumpaan agama. – UTUSAN