PERCAYA wanita penggerak utama keluarga dan jentera pembangunan negara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze memberi ruang kepada wanita membina kemahiran baharu, sekali gus memupuk pertumbuhan peribadi dan profesional.
Mungkin prosesnya tidak mudah. Namun, dengan sekecil-kecil langkah, pasti memberi hasil positif pada masa akan datang.
Sebab itu, melalui Pusat Wanita Berdaya Subang Jaya (PWBSJ) dengan kerjasama ASK Premier Consultancy, menganjurkan kursus media sosial TikTok & Xiaohongshu yang membuka ruang dan peluang untuk wanita menambah pendapatan.
Pusat Wanita Berdaya (PWB) di bawah kerajaan Selangor berperanan menggalakkan wanita bergiat aktif dan melaksana aktiviti yang boleh menjana pendapatan kepada komuniti.
“Kebanyakan mereka yang datang ke pejabat saya ialah wanita terutama yang hidup keseorangan, ada bebanan dan tanggungan. Jika mereka tidak berdikari, susah untuk meneruskan kehidupan seharian.
“Dalam Subang Jaya, ada keperluan mereka berdikari dan menambah pendapatan isi rumah. Kita maklum kos sara hidup di sini agak tinggi, jadi, penting untuk kami menggalakkan wanita mencari pendapatan melalui penguasaan media sosial.
“Kami boleh beri bantuan berupa makanan, wang tunai tetapi ini tidak kekal lama dan tidak menyelesaikan masalah.
“Sebab itu, mandat saya beri kepada PWB untuk memastikan program seperti ini bagi membolehkan wanita berdikari dan menambah pendapatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau ditemui selepas hadir ke program itu di Jalan PJS 8/6, Bandar Sunway baru-baru ini.
Pada waktu petang, saya turut mengikut beliau dalam program Community Outreach for Parents with ADHD, Autism & Neurodivergent Child di Stem 4All Maker Space, Da Men Mall USJ.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Selangor tahun lalu, Michelle menang kerusi DUN Subang Jaya dengan 60,264 undi (51,191 undi majoriti) menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), S. Gana Pragasam (9,173) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Zayd Shaukat Ali (4,749).
Dalam pada itu, Michelle tidak menjangka, program itu mendapat sambutan menggalak dan memberangsangkan walaupun baru sahaja memulakan kursus berkenaan khusus untuk golongan wanita berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Nama penuh: Michelle Ng Mei Sze
Penggal DUN: 2
Pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di London School of Economics
Catholic High School, Petaling Jaya
Kerjaya dan pengalaman:
[2021-kini] Ahli Jawatankuasa DAP Selangor
[2018-kini] Setiausaha Publisiti Wanita DAP Selangor
[2022-2024] Biro Dasar Awam dalam Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY)
[2014-2017] Peguam di Sreenevasan Young
[2017-2018] Peguam di Gobind Singh Deo & Co
[2023-2024] Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Dewan Negeri Selangor
[2023-kini] Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor
[2020-2023] Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Air Selangor
[2023-kini] Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur Dan Mobiliti (JPK–Infragro)
[2024-kini] Pengerusi Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP).
Status: Berkahwin
“Media sosial platform unik, jadi, hasrat kami mengajar mereka bagaimana memaksimum setiap hantaran supaya sampai kepada orang ramai dengan harapan, hasil perniagaan mereka akan bertambah melalui siasaran langsung atau pautan video,” katanya.
Walaupun menumpukan kepada wanita, namun, kata Michelle, beliau berusaha sehabis baik memenuhi dan melaksana keperluan setiap lapisan masyarakat di Subang Jaya yang melangkaui gender, status dan latar belakang meskipun cabarannya berbeza.
Michelle memberitahu, kawasannya juga berdepan masalah khusus di bandar seperti pembangunan terbengkalai, sampah-sarap dan insfrastruktur namun penyelesaian ke arah itu masih berterusan.
“Bilangan penduduk di sini sangat besar iaitu 250,000, pengundi 110,000 dan saya seorang sahaja. Cabarannya kami kekurangan kakitangan.
“Walaupun kami ramai penduduk, tetapi, bilangan ahli majlis hanya ada empat, tidak seperti kawasan lain walaupun jumlah pengundinya lebih sedikit namun kawasannya luas dan ahli majlisnya ramai,” katanya.
Katanya, di sebalik kesempurnaan yang ada di Subang Jaya seperti hospital dan institusi pengajian tinggi, namun DUN Subang Jaya tidak mempunyai prasarana kesihatan kerajaan seperti klinik kesihatan.
“Dalam keadaan penduduk semakin menua, maka, keperluan untuk klinik kesihatan di sini amat penting. Namun, tender projek ini sudah dikeluarkan pada September lalu, manakala jangkaan pembinaannya di USJ1 bermula pada 2025 dan siap pada 2028.
“Selain daripada ini, Subang Jaya sudah cukup okey. Jika kita tahu bagaimana menghargai apa yang ada, kawasan saya sudah ada kesemuanya. Tidak perlu keluar dari sini untuk mendapatkan sesuatu. Kita boleh lahir dan mati di sini,” katanya. – UTUSAN